Tuesday 8 March 2011

Berhijrah Meninggalkan Larangan ALLAH

قال الله تعالى :



إِلَّا تَنصُرُوهُ فَقَدْ نَصَرَهُ ٱللَّهُ إِذْ أَخْرَجَهُ
ٱلَّذِينَ كَفَرُوا
۟ ثَانِىَ ٱثْنَيْنِ إِذْ هُمَا فِى ٱلْغَارِ إِذْ يَقُولُ
لِصَـٰحِبِهِ
ۦ لَا تَحْزَنْ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَنَا ۖ فَأَنزَلَ ٱللَّهُ
سَكِينَتَهُ
ۥ عَلَيْهِ وَأَيَّدَهُۥ بِجُنُودٍۢ لَّمْ تَرَوْهَا
وَجَعَلَ كَلِمَةَ ٱلَّذِينَ
كَفَرُوا۟ ٱلسُّفْلَىٰ ۗ وَكَلِمَةُ ٱللَّهِ هِىَ
ٱلْعُلْيَا
 ۗ وَٱللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ ﴿٤٠﴾


Kalau
kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka Sesungguhnya Allah telahpun
menolongnya, Iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari
negerinya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka
berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: "Janganlah
Engkau berdukacita, Sesungguhnya Allah bersama kita". maka Allah
menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya
Dengan bantuan tentera (malaikat) Yang kamu tidak melihatnya. dan Allah
menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya),
dan kalimah Allah (Islam) ialah Yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah
Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.  
[Al-Taubah:
40]



Pengajaran ayat:

1.      Hijrah Nabi s.a.w. dari Makkah ke Madinah
al-Munawwarah adalah merupakan kemenangan besar bagi Nabi Muhammad s.a.w. dan
para sahabat serta Islam . Ini jelas di sebut dalam ayat di atas 
(فَقَدْ
نَصَرَهُ ٱللَّهُ
) , iaitu " Maka sesungguhnya Allah telah
memenangkan Nabi Muhammad s.a.w." .

2.      Walaupun Nabi s.a.w. dan para sahabat pada zahirnya di
halau keluar dari tanah air mereka, terpaksa meninggalkan sanak saudara, harta
benda dan Baitullah, tetapi sebenarnya mereka akan pergi ke suatu tempat
yang lebih selamat dan aman. Di Madinah mereka akan dapat beribadat kepada
Allah dengan lebih baik dan sempurna tanpa di halang atau di ganggu oleh
musyrikin Makkah dan musuh-musuh Allah.

3.      Semasa tempoh berdakwah di Makkah Nabi s.a.w. dan para
sahabat sentiasa di tekan, di hina, di seksa dan sebahagian sahabat di bunuh seperti
Sumayyah, Yaasir dan lain-lain. Nabi dan para sahabat juga di boikot dari segi
sosial dan ekonominya yang mana mereka (Bani Hasyim dan Bani Al-Muttalib)  di halang dari bernikah kahwin, berjual beli,
bercampur-gaul, bercakap dan masuk ke rumah puak musyrikin Makkah selama tiga
tahun bermula awal Muharram tahun ke tujuh selepas perlantikan Nabi sebagai
Rasul.

4.      Tempoh boikot ini adalah antara kemuncak kepada
keperitan dan penderitaan yang di hadapi oleh Rasululah s.a.w. dan para
sahabat. Suara tangisan anak-anak kecil dan wanita-wanita  kedengaran dari penempatan Bani Hasyim dan
Al-Muttalib di sebabkan kelaparan sehinggakan ada di kalangan mereka yang terpaksa makan daun-daun kayu
dan kulit-kulit binatang.

5.      Inilah harga bayaran yang telah di bayar oleh
Rasulullah s.a.w. dan para sahabat untuk mendapat kemenangan dengan berhijrah
ke Madinah. Ini juga merupakan pra syarat bagi setiap kemenangan, tanpa
kesusahan dan penderitaan seperti ini tidak mungkin kemenangan akan datang
dengan mudah.

6.      Hijrah ini juga sebagai petanda bahawa Islam akan
tertegak dengan sepenuhnya dengan tertegaknya Negara Islam di Madinah.

7.      Untuk melaksanakan apa-apa perancangan mestilah di
dahului oleh perancangan yang teliti dan betul. Rasulullah s.a.w. sebelum berhijrah
telah merancang dengan penuh teliti dan berhati-hati agar perancangan berjalan
dengan sempurna dan jaya. Baginda telah melantik:

i.                   Abdullah bin Abu
Bakar sebagai perisik yang akan membawa berita-berita dari musyrikin Makkah
kepada baginda selama berada di Gua Thur.

ii.                Asma' binti Abu
Bakar sebagai pembawa makanan ke Gua Thur. Wanita di pilih supaya tidak dapat
di kesan atau di syaki membawa sesuatu.

iii.              Aamir bin Fuhairah
yang merupakan pengembala kambing, tugasnya memadamkan kesan tapak kaki
Abdulllah yang berulang alik dari Makkah ke Gua Thur. Beliau juga membekal susu
dari kambingnya untuk di minum oleh Rasulullah s.a.w. dan Abu Bakar.

iv.              Abdullah bin
Uraiqit seorang musyrik (kafir) tetapi boleh di percayai. Beliar pakar dalam
selok belok jalan-jalan alternative ke Madinah. Tugasnya memandu perjalanan
Rasullullah s.a.w. dan Abu Bakar  ke
Madinah setelah keluar dari Gua Thur.

8.      Rasulullah berhijrah dengan perintah Allah untuk
mendirikan sebuah masyarakat Islam yang harmoni dan sejahtera dan kesejahteraan
dan keamanan tidak mungkin tertegak tanpa keredhaan Allah. Oleh itu sebaik
sampai di Madinah,  projek pertama yang
di laksanakan oleh baginda ialah membina masjid. Walaupun berhijrah dalam
keadaan sehelai sepinggang dan tanpa rumah untuk di diami atau berehat tetapi
yang lebih penting dari itu ialah hubungan manusia sebagai hamba dengan
penciptanya sebagai Tuhan.

9.      Kemudian baginda membina hubungan ukhuwwah iaitu
mempersaudarakan antara golongan Ansar dan Muhajirin sehingga terbina satu
ikatan ukhuwwah yang kuat bahkan lebih kuat dari ikatan pertalian darah.


Unsur  ketiga
terpenting yang di bina oleh Rasulullah dalam membentuk masyarakat yang harmoni
dan sejahtera ialah ekonomi. Baginda membina pasar-pasar dan mendorong para
sahabat agar berniaga sehingga lahirlah peniaga-peniga yang kaya raya di
kalangan sahabat seperti Abdul Rahman bin Auf dan Uthman bin Affan.

No comments:

Post a Comment